Pusat Sains Negara
Pusat Sains Negara

Pusat Sains Negara

Pusat Sains Negara (atau PSN) merupakan sebuah muzium yang bertemakan sains dan teknologi yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.[1] Pusat ini juga adalah sebuah institusi pendidikan tidak formal di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI). Misi PSN adalah untuk mencetus dan menyemai minat rakyat Malaysia ke arah pembelajaran sains dan teknologi sepanjang hayat. Objektif PSN pula adalah untuk memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan orang ramai terhadap sains dan teknologi.[2]Pusat Sains Negara telah dibuka secara rasmi oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia keempat pada 29 November 1996. Di sini, terdapat pelbagai bahan pameran yang direka khas bagi tujuan merangsang, menarik dan menggalakkan para pengunjung untuk menaruh minat yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Bahan pameran telah dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu Sains Asas dan Teknologi dan diletakkan di galeri-galeri tertentu yang berdasarkan tema yang tersendiri. Secara keseluruhan, konsep yang ingin diketengahkan oleh pusat ini adalah untuk menghubungkan sains dan alam sekitar dengan agama, serta untuk mengaitkan sains dengan aspek kehidupan, pengetahuan dan diaplikasi dalam aktiviti seharian. Selain itu, Pusat Sains Negara juga mempunyai cawangan baharu di Gunung Keriang, Kedah yang dibuka pada 1 Mac 2010.